Pembangunan dan persediaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012

Jawatankuasa Penganjuran Sukan Olimpik London (LOCOG) ditubuhkan untuk menyelia penganjuran temasya Sukan Olimpik setelah berjaya dalam pembidaan, lalu mengadakan sidang lembaga yang sulung pada 3 Oktober 2005.[11] Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Lord Coe ini bertanggungjawab melaksanakan dan menganjurkan temasya, sementara Lembaga Penyampaian Olimpik (Olympic Delivery Authority, ODA) yang ditubuhkan pada April 2006[12] bertugas membina tempat acara dan prasarana.[11]

Eksekutif Olimpik Kerajaan (Government Olympic Executive, GOE), sebuah unit Jabatan Kebudayaan, Media dan Sukan UK, merupakan lembaga kerajaan utama yang menyelaras Sukan Olimpik London 2012. GOE melapor menerusi Setiausaha Kekal Jabatan tersebut kepada Menteri Sukan dan Olimpik. Tumpuannya ialah menyelia temasya Sukan, pengurusan acara antara acara dan "London 2012 Olympic Legacy" sebelum dan selepas temasya yang akan memanfaatkan London dan UK. Pertubuhan ini juga bertanggungjawab menyelia pembiayaan sektor awam sebanyak £9.3 juta.[13]

Pada Ogos 2011, timbulnya kebimbangan keselamatan berkenaan penganjuran Sukan Olimpik di London[14] ekoran rusuhan England 2011, apabila beberapa negara meluahkan kerisauan tentang keselamatan temasya,[15] biarpun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menjamin bahawa rusuhan itu tidak akan menjejaskan temasya.[16]


Suruhanjaya Penyelarasan IOC sempena Sukan Olimpik 2012 menghabiskan lawatan kesepuluh dan terakhir ke London pada Mac 2012, lalu membuat kesimpulan bahawa "London bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada dunia musim panas nanti".[17]

Tempat acara dan prasarana

Akademi Pelayaran Kebangsaan Weymouth dan Portland di Pulau Portland, Dorset mengadakan acara lumba kapal layar

Sukan Olimpik dan Paralimpik 2012 akan menggunakan kemudahan sukan baru, sedia ada, bersejarah dan sementara sekaligus, termasuk sekali Taman Hyde dan Horse Guards Parade. Sesetengah kemudahan baru akan digunakan semula dalam bentuk Olimpiknya, sementara yang lain dibesarkan atau dipindahkan.[18]

Kebanyakan tempat acara dibahagikan kepada tiga zon dalam London Raya, iaitu Zon Olimpik, Zon Sungai dan Zon Pusat. Selain itu, terdapat tempat-tempat acara yang terletak di luar batas London Raya, seperti Akademi Pelayaran Kebangsaan Weymouth dan Portland di Pulau Portland, Dorset, yang akan menempatkan acara belayar, yang terletak kira-kira 125 batu (200 km) ke barat daya London. Kejohanan bola sepak pula diadakan di beberapa padang di serata UK.[19] Usaha pembaharuan Taman Olimpik bermula pada Disember 2006, apabila dewan sukan di Eton Manor terpaksa dirobohkan.[20] Perkampungan atlit di Portland siap dibina pada September 2011.[21]

Pada November 2004, rancangan pembinaan Taman Olimpik diperkenalkan.[22] Rancangan tersebut diluluskan oleh majlis-majlis perbandaran Tower Hamlets, Newham, Hackney dan Waltham Forest pada September 2004.[23] Usaha pembangunan semula kawasan berkenaan untuk membina Taman Olimpik memerlukan arahan pembelian paksa harta tanah. Agensi Pembangunan London bertelingkah dengan syarikat pengangkutan London and Continental Railways berkenaan arahan itu pada November 2005. LCR menuduh agensi tersebut mengganggu pembangunan kawasan berkenaan. Agensi tersebut hendak membeli tanah di samping Taman Olimpik untuk projek pembangunan Bandaraya Stratford, yang mana tapak bekas Stratford Rail Lands seluas 180 ekar ini dijadikan projek aneka kegunaan yang menempatkan 4,500 buah rumah, pejabat, hotel dan kedai baru.[24] Hasilnya pada tahun 2011 ialah pusat beli-belah urban terbesar di Eropah yang dikendalikan oleh Westfield.[25] Menjelang Mei 2006, 86% tanah berkenaan telah dibeli sementara wujudnya tentangan oleh masyarakat peniaga, sehingga berlakunya siasatan. 206 buah syarikat terpaksa berpindah sebelum Julai 2007.[26] Selain itu, para penduduk yang menentang pemindahan itu cuba menghalangnya dengan mengadakan kempen. Bagaimanapun, mereka terpaksa berpindah kerana 94% tanah sudah dibeli dan 6% lagi yang dibeli untuk projek pembangunan semula £9 bilion pun bermula.[27]


Pandangan udara Taman Olimpik pada April 2012

Pembiayaan

Belanja penganjuran Sukan Olimpik adalah berasingan dengan belanja membina tempat acara dan prasarana, serta membangunkan semula tanah untuk Taman Olimpik. Sungguhpun temasya dibiayai oleh pihak swasta, namun tempat-tempat acara dan Taman Olimpik banyak dibiayai oleh dana awam.

Belanjawan asal temasya ini adalah £2.4 bilion, tetapi jumlah itu meningkat hampir empat kali ganda kepada £9.3 bilion pada tahun 2007.[28] Perangkaan baru ini diumumkan di hadapan Dewan Rakyat pada 15 Mac 2007. Selain kos pembangunan semula East End, belanjanya terdiri daripada yang berikut:

SektorBelanja
Pembinaan tempat acara dan prasarana temasya£5.3 bilion
Pembiayaan sukan elit dan Paralimpik£400 juta
Kawalan keselamatan£600 juta
Pembangunan semula Lembah Hilir Lea£1.7 bilion
Dana luar jangkaan£2.7 bilion
Cukai tambah nilai£800 juta

Penaja

Penaja Sukan Olimpik 2012
Rakan sedunia:[29]
Rakan rasmi:[29]
Penyokong rasmi:[29]
Pembekal rasmi:[29]

Sukarelawan

Sukarelawan tak berbayar yang bergelar Games Makers melakukan pelbagai tugas sebelum dan sewaktu temasya.[30] Seramai 70,000 orang sukarelawan disasarkan seawal tahun 2004.[31] Apabila perekrutan diadakan pada tahun 2010, seramai 240,000 permohonan diterima.[32] Sebastian Coe berkata pada Februari 2012, "Games Makers kami akan menyumbangkan sebanyak lapan juta jam kesukarelawanan sewaktu temasya, maka temasya ini tidak boleh dizahirkan tanpa mereka".[33]

Penjualan tiket

Pihak penganjur menganggarkan, sebanyak 8 juta keping tiket dapat dijual untuk Sukan Olimpik London,[34] dan 1.5 juta lagi untuk Sukan Paralimpik.[34][35] Dianggarkan bahawa 82% tiket Olimpik yang sedia ada dan 63% tiket Paralimpik akan dijual. LOCOG mengharapkan hasil penjualan tiket sebanyak £375–£400 juta. Juga terdapat acara percuma, seperti maraton, triatlon dan lumba basikal jalanan,[36] tetapi buat julung kalinya dalam sejarah Olimpik, acara belayar dikenakan bayaran.[37]

Keselamatan

Operasi menjaga keselamatan diketuai oleh polis yang menyediakan seramai 10,000 orang kakitangan, disokong oleh 13,500 ahli tentera British. Aset-aset Tentera Laut dan Udara, termasuk kapal-kapal yang berlabuh di Sungai Thames, pesawat-pesawat Eurofighter dan peluru-peluru berpandu permukaan ke udara, turut dikerah dalam operasi ini. Belanja keselamatan turut meningkat dari £282 juta hingga £553 juta. Inilah operasi keselamatan terbesar yang diadakan oleh Britain dalam puluhan tahun kebelakangan ini. Jumlah 13,500 kakitangan tentera adalah lebih daripada yang dihantar oleh UK ke Afghanistan ketika ini.[38] Polis Metropolitan dan Angkatan Marin Diraja menjalankan raptai keselamatan dalam persediaan untuk temasya Olimpik pada 19 Januari 2012.[39]

Logo dan grafik

Dua logo London 2012 telah digunakan, iaitu satu untuk pembinaan yang direka oleh Kino Design dan satu lagi untuk temasya sukan. Logo yang terdahulu ialah reben berjalur biru, kuning, hitam, hijau dan merah berliku-liku melalui teks "LONDON 2012", menyerupai bentuk Sungai Thames di London Timur. Logo kemudian direka oleh Wolff Olins dan diperkenalkan 4 Jun 2007 setelah menelan belanja £400,000.[40] Logo baru ini melambangkan nombor 2012, dengan logo Olimpik pada angka kosongnya.[41]

Logo Paralimpik (kiri sekali) dan pelbagai gabungan warna rasmi untuk reka bentuk logo utama Wolff Olins

Inilah kali pertama logo yang sama digunakan untuk sukan Olimpik dan Paralimpik.[42]

Maskot

Mandeville (kiri) dan Wenlock (kanan)

Maskot-maskot rasmi Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2012 diperkenalkan pada 19 Mei 2010;[43] ini merupakan kali kedua (selepas Vancouver) yang mana kedua-dua maskot Olimpik dan Paralimpik diperkenalkan serentak. Wenlock dan Mandeville merupakan bentuk animasi yang menggambarkan dua titisan keluli lebur dari sebuah kilang keluli di Bolton.[43] Mereka diberi nama Wenlock, sempena pekan Much Wenlock yang mengadakan suatu acara perintis kepada Sukan Olimpik masa kini, dan Mandeville, sempena Stoke Mandeville, sebuah desa di Buckinghamshire di mana diadakannya perintis kepada Sukan Paralimpik.[43] Pengarang cerita kanak-kanak, Michael Morpurgo mencipta konsep cerita maskot-maskot ini, dan juga wujudnya filem animasi pendek berkenaan kisah mereka;[44].[43] Dua cerita telah direka tentang maskot-maskot ini, iaitu Out Of A Rainbow, iaitu kisah kelahiran Wenlock dan Mandeville, dan Adventures On A Rainbow yang mengisahkan pertemuan kanak-kanak dari Out Of A Rainbow dengan maskot-maskot ini di samping mencuba pelbagai acara sukan Olimpik dan Paralimpik.[45]

Pingat

Sekitar 4,700 butir[46] pingat Olimpik dan Paralimpik 2012 dihasilkan oleh Royal Mint,[47] direka oleh David Watkins (Olimpik) dan Lin Cheung (Paralimpik).[48] Hampir kesemua bahan emas, perak dan tembaganya digali di Kaunti Salt Lake, Utah, Amerika Syarikat.[49] Setiap pingat beratnya 375–400g, diameternya 85mm dan tebalnya 7mm, dengan nama sukan dan jurus tertera pada bibirnya.[50] Seperti biasa, muka depannya memaparkan Nike, dewi kemenangan Yunani yang melangkah keluar dari Stadium Panathinaiko yang menjadi tuan rumah kepada Sukan Olimpik moden yang sulung pada tahun 1896, dengan Parthenon sebagai latar belakangnya; muka belakangnya pula terpapar logo Sukan Olimpik, Sungai Thames dan garis-garis bersiri yang melambangkan "tenaga para olahragawan dan semangat perpaduan".[51] Pingat-pingat ini dipindahkan untuk disimpan ke bilik kebal Menara London vaults pada 2 Julai 2012.[50]

Larian obor

Larian obor di Newport, Isle of Wight

Larian obor Olimpik dilangsungkan mulai 19 Mei hingga 27 Julai 2012, sebelum temasya bermula. Rancangan untuk larian obor dibangunkan pada 2010–11, sementara proses pemilihan pembawa obor diumumkan pada 18 Mei 2011.[52]Api Olimpik tiba di penerbangan BA2012 pada 18 Mei 2012 dari Greece.[53] Larian ini diadakan selama 70 hari, dengan 66 keraian malam dan enam kunjungan pulau, melibatkan seramai 8,000 yang membawa obor dalam perjalanan sepanjang 8,000 batu (12,800 km), mulai Land's End di Cornwall.[54] Obor ini hanya keluar dari United Kingdom selama sehari ketika mengunjungi Dublin pada 6 Jun.[55] Larian ini tertumpu pada Tapak Warisan Negara, lokasi-lokasi yang penting kepada bidang sukan, acara sukan utama, sekolah-sekolah yang berdaftar dengan Get Set School Network, kawasan hijau dan simpanan alam, Live Sites (lokasi berskrin besar), pesta dan sebagainya.[56]

Upacara pembukaan

Upacara pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 akan diadakan pada 27 Julai 2012 dan diberi gelaran The Isles of Wonder (Pulau-Pulau Keajaiban).[57] Sutradara filem terkenal, Danny Boyle merupakan pengarah kesenian upacara ini, diiringi oleh Rick Smith dan Karl Hyde yang menganggotai duo muzik elektronik Underworld sebagai pengarah muzik.[58]

Temasya dirasmikan oleh Ratu Elizabeth II yang diiringi oleh Putera Philip, Adipati Edinburgh.[59] Antara acara-acara menarik dalam upacara pembukaan ini termasuk filem pendek yang dibintangi oleh Daniel Craig sebagai James Bond bersama Ratu sendiri,[60] dan juga persembahan lagu tema Chariots of Fire yang menampilkan pelawak terkenal Rowan Atkinson yang kelihatan leka berangan-angan akan babak larian pantai dalam filem tersebut sambil menekan-nekan satu kunci pada papan nadanya. Acara kemuncak upacara ialah penyalaan kawah Olimpik oleh tujuh orang atlit muda UK sekaligus. Sir Paul McCartney membuat persembahan di akhir upacara.[61]

Upacara penutupan

Upacara penutupan Sukan Olimpik London 2012 diadakan pada 12 Ogos 2012, menyaksikan penyerahan bendera Olimpik oleh Boris Johnson, Datuk Bandar London, kepada Eduardo Paes, Datuk Bandar Rio de Janeiro, iaitu tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2016.[62]

Rujukan

WikiPedia: Sukan Olimpik Musim Panas 2012 http://www.insidethegames.biz/olympics/summer-olym... http://www.businesswire.com/news/home/201104100050... http://www.engadget.com/2012/06/06/youtube-london-... http://www.gamesbids.com/eng/future_olympic_games/... http://abcnews.go.com/Travel/wireStory?id=10171244 http://www.irishtimes.com/newspaper/breaking/2011/... http://www.ksl.com/?nid=148&sid=20827055 http://www.latimes.com/entertainment/arts/culture/... http://www.london2012.com/about-newlook-video.html http://www.london2012.com/about-us/the-people-deli...